Friday, October 20, 2006

Aidil Fitri

Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua pembaca blog.
Hati2 dijalan raya.
Semoga berbahagia bersama keluarga.
Jumpa lagi selepas cuti.

Jom balik kampung... ;)

Tuesday, October 17, 2006

Dendang perantau

Aidilfitri bakal datang lagi. Kalau dulu, zaman budak2, selepas 20 hari puasa adalah masa yang dinanti2kan. Cerita-cerita tentang malam tujuh likur jadi hidangan masa lepak dengan kawan2 dibawah pokok jambu atau dipangkin laman rumah. Kisah tentang malaikat turun, pokok - pokok sujud ke bumi, cengkerik dan burung hantu akan berhenti berbunyi, malam yang sunyi dan nyaman, malam pintu segala rahmat dibuka. Pada zaman itu, untuk membuat ibadah dimalamnya tidaklah diambil berat sangat oleh kami. Kami cuma mahu menunggu untuk melihat bagaimana pokok sujud kebumi dengan sendiri. Ah..kanak2 dan fantasi.

" Kau nak mintak apa kalau kau jumpa malam Lailatulqadar?"
"Aku nak mintak duit banyak2 dan mintak jadi pandai sepandai - pandainya la.."
"Kalau aku..hmm..aku nak mintak mercun das, mercun roket, mercun katak"
HAHAHHAHA...

Rumah kami yang 3 sederet itu kebetulan ada geng sebaya, sepasang serumah, aku & abang aku, jiran aku Liza & abgnya Din (lepas dia pindah ganti pula dengan Ija & Nuar), dan sorang lagi Nani & Joe. Geng ni la yang akan cari kayu buat pancang, beli pelita dan minyak tanah. Geng ini juga lah yang akan check kedai Cina mana yang ada jual bunga api dan mercun. Tiba malam..rumah 3 sederet itu meriah dengan pelita minyak tanah menghiasi laman. Lepas maghrib kami berkumpul, berborak, main bunga api, mercun, polis sentri, dan kejar2 . Malam tujuh likur yang terang benderang memang umpama syurga loka milik kami.Takde sapa nak marah, tentunya keadaan itu lebih baik dari hari2 biasa yang selalunya disulami dengan sergahan dan jeritan: "oiii budak2, balik dah senja", "laaa tak turun2 lagi dari pokok jambu tu, balik makan tengahari", "ni dari pagi tak ingat mandi, masuk bilik air skang!"

Perancangan geng kami memang padu, tiga hari sebelum raya kami akan buat sesi kembara cari ranting untuk dicacak dalam pasu bunga. Di ranting itu nanti kami akan gantung kad-kad raya yang diterima. Kad2 tu ditebuk dengan jarum dan diikat dengan benang dan dihias pada ranting. Sekali lagi rumah 3 sederet itu akan meriah dengan hasil kerja tangan budak2 geng ber-enam. Plan untuk beraya rumah sapa dulu, kampung mana, pada hari raya pertama hingga ke 3 siap digubal. Duit raya 10 sen atau 20 sen pun terasa besar masa tu, dan kami beraya sambil makan dan beramah mesra dengan org tua, tak macam budak2 sekarang ni, nak duit and balik aje.

Menjelang remaja, masing2 telah membawa haluan sendiri. Bersekolah di sekolah2 asrama, perpindahan duduk dengan keluarga di KL telah memisahkan kami. Meningkat remaja juga menimbulkan rasa segan silu untuk berkelakuan seperti dulu. Waktu itu, bila aku balik untuk beraya, laman sudah sepi. Cuma pelita masih terpasang, kerana agaknya abang aku masih dibuai kenangan. Tiada lagi bunga api untuk dimainkan, cuma kedengaran suara mercun dikejauhan menambahkan rasa rindu pada masa lalu.

Waktu telah berganti, kalau dulu aku berlari - larian dihalaman, kini aktiviti pasang langsir atau tolong buat biskut pula mengambil alih. Sekarang, hari raya hadir bersama kenangan manis dulu tergambar diruang mata, keseronokan zaman kanak2 yang tak dapat dilupa, zaman alam fantasi yang telah jauh ditinggalkan. Ya, kita harus akur dengan kedewasaan. Kedewasaan dan pengertian. Ketibaan Aidilfitri kini masih dinantikan, kemeriahannya tetap dirasakan, cuma membawa makna yang berbeza dalam suasana yang berlainan...

Friday, October 06, 2006

senandung anak dara lapar

lama berkelana dirantauan
bulan dinanti bulan ramadan

bulan dinanti bulan ramadan
beli juadah bersama teman

beli juadah bersama teman
rajin berkunjung ke pasar ramadhan

rajin berkunjung ke pasar ramadhan
bila berbuka keseorangan

bila berbuka keseorangan
teman melihat rasa kasihan

teman melihat rasa kasihan
dibelanja makan buat hiburan

dibelanja makan buat hiburan
steamboat buffet jadi habuan

steamboat buffet jadi habuan
citybayview tempat kunjungan

citybayview tempat kunjungan
tanda hargai sebuah persahabatan

tanda hargai sebuah persahabatan
senda gurau menambah kemesraan

senda gurau menambah kemesraan
budi baik ada balasan

budi baik ada balasan
balik ke KL jalan beriringan

balik ke KL jalan beriringan
tiada bosan sepanjang perjalanan

tiada bosan sepanjang perjalanan
cuti diambil untuk liburan

cuti diambil untuk liburan
mengerat hubungan kekeluargaan

buka puasa makan pengat, aku dah penat
esok pagi lepas sahur, aku bertolak ke kuala lumpur..

YIPPIEEEE....!!!